ISU DADAH DALAM SUKAN

Dadah, sukan tidak dapat dipisahkan

Oleh HAMDAN AHMAD
DUNIA sukan sekali lagi dikejutkan dengan pengakuan jaguh lumba lari pecut wanita terkemuka Amerika Syarikat, Marion Jones bahawa beliau telah mengambil dadah ketika bertanding di Sukan Olimpik Sydney tahun 2000. Ketika itu beliau berjaya membolot tiga emas dan dua pingat gangsa - satu pencapaian terbaik yang pernah dicapai bagi seseorang atlet yang mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik.
Peristiwa sensasi lain yang melibatkan atlet mengambil dadah ialah ketika di Sukan Olimpik Seoul di mana pelari pecut 100 meter Kanada, Ben Johnson didapati bersalah kerana mengambil dadah.
Dadah menguatkan prestasi atau dikenali dalam bahasa Inggeris Performance-Enhancing Drugs. Ia digunakan oleh atlet semata-mata untuk memberi kelebihan ketika bertanding dalam sesuatu acara sukan. Dadah-dadah ini memberi kesan pada tubuh badan dengan cara berbeza seperti dapat membesarkan otot-otot atau meningkatkan kapasiti aliran oksigen darah. Walau apa pun anggapan kelebihan mengambil dadah, penggunaan dadah terlarang dianggap tidak beretika dan berbahaya dari segi perubatan.
Penggunaan bahan-bahan untuk meningkatkan prestasi ketika bertanding bukanlah satu fenomena baru. Beribu-ribu tahun lalu telah ada cerita tentang atlet mengambil dadah untuk kepentingan mereka di Sukan Olimpik kuno dan acara lain. Para atlet di penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 juga telah mengambil kesempatan menggunakan kafein dan strychnine. Tiga tahun selepas pelumba basikal Belanda mati kerana mengambil dadah di Sukan Olimpik 1960, barulah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengeluarkan senarai dadah yang dilarang.
Walaupun telah terbukti sahih akan kesan dadah memperkuat prestasi dari segi kesihatan, pembangunan dan penggunaan bahan-bahan tersebut terus meningkat. Teknologi perubatan yang sofistikated beberapa abad kebelakangan ini telah menghasilkan pelbagai jenis dadah baru dan peraturan-peraturan yang membolehkan para atlet menggunakannya.
Permintaan bahan-bahan ini terus meningkat dari semasa ke semasa disebabkan habuan insentif ke atas kecemerlangan sukan. Atlet berlatih bertahun-tahun bagi mengejar kejayaan dan menghasilkan rekod kejohanan. Para atlet amatur terbaik akan menerima biasiswa universiti atau kolej sebagai ganjaran hasil dari pencapaian yang telah ditunjukkan. Ahli sukan profesional terkemuka dalam banyak jenis sukan pula memperoleh pendapatan berjuta-juta ringgit, wang hadiah dan endorsement komersial. Ada di kalangan atlet mengambil dadah kerana khuatir tertinggal di belakang atlet lain.
Banyak kajian menunjukkan ramai atlet tidak mempedulikan risiko kesihatan yang akan dihadapi sekiranya mereka mampu mendapatkan kelebihan dengan cara tidak tulen. Oleh yang demikian, isu ini telah menjadi masalah yang paling serius dalam dunia sukan hari ini

No comments:

Post a Comment